ALOR SETAR: “Saya cuma ingat mati dan mengucap panjang apabila tiba-tiba tanah runtuh lalu menimbus saya dan rakan sehingga paras pinggang,” kata Badrulhisham Wahab, 27, yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh ketika mengimpal paip besi di tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Jalan Stadium, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Badrulhisham bersama rakannya dikenali sebagai Omar, 30-an, sedang melakukan kerja mengimpal paip besi di tapak projek berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian itu hujan renyai-renyai dan kedua-dua mangsa masuk ke dalam lubang sedalam satu meter untuk mengimpal.
Menceritakan semua detik cemas itu, Badrulhisham berkata, dia dan rakannya baru masuk ke dalam lubang berkenaan selepas hujan berhenti untuk mengimpal paip besi.
“Ketika kejadian itu, Omar sedang mengimpal paip besi sementara saya berada di sebelahnya sambil melihat kerja kimpalan dilakukan.
“Dalam sekelip mata, tiba-tiba tanah runtuh sehingga menimbus saya dan rakan hampir paras pinggang. Saya panik lalu terus menjerit meminta tolong.
“Syukur kerana jeritan saya didengari beberapa pekerja kontrak lain yang kebetulan berada di tapak ini. Saya menguatkan semangat walaupun ketika itu bertarung nyawa,” katanya di sini, semalam.
Badrulhisham yang berasal dari Pendang, berkata dia bersyukur kerana beberapa pekerja kontrak yang berada di kawasan itu menarik tangannya dan rakan keluar dari lubang itu.
“Mujur ada beberapa pekerja kontrak di situ, kalau tidak saya tak tahu apa akan berlaku ke atas kami. “Saya selalu datang ke tapak ini sekiranya diperlukan untuk memasang paip besi manakala rakan saya pula bekerja sebagai jurukimpal.
“Kejadian tanah runtuh ini adalah pengalaman pertama dan mengerikan. Saya masih trauma dan akan lebih berhati-hati selepas ini.
“Saya tetap bersyukur kerana selamat walaupun hampir mati tertimbus,” katanya yang sudah bekerja sebagai tukang paip selama tiga tahun.
Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.37 malam dan bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas itu.
“Dua jentera bomba dengan dibantu enam anggota bergegas ke tempat kejadian,” katanya. Tweet
0 00 dh komen korong bla lg nk komen:
Post a Comment