Barisan pelakon drama bersiri Vanila Coklat bergambar kenangan dengan semua peminat yang hadir menyaksikan episod akhir drama itu di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail di sini pada malam Selasa. Foto THE STAR Oleh GLENN GUAN.
PETALING JAYA : Hampir 300 peminat drama Vanila Coklat berkumpul di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail di sini untuk menyaksikan episod terakhir siri itu pada malam Selasa.
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, tayangan episod akhir bersama peminat itu dibuat kerana sambutan dan sokongan peminat sekaligus mencatatkan jumlah kadar penonton yang tinggi.
“Pihak TV3 ingin menghargai peminat dalam satu tayangan istimewa drama bersiri itu bersama-sama para pelakonnya,” ujarnya.
Semua barisan pelakon Vanila Coklat iaitu Izara Aishah, Aiman Hakim Ridza, Iqram Dinzly, Bella Daly, Liza Abdullah, Zuhairi Ibrahim, Arash Mohd, Emma Akma dan Fazlina Ahmad Daud turut bersama-sama peminat di sana sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang menyokong drama berkenaan.
Pada majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan pembuka tirai oleh Aepul daripada kumpulan Drama.
Dalam pada itu, rata-rata peminat yang ditemui menyatakan rasa seronok dan gembira dapat bertemu dengan artis pujaan mereka.
Malah, selepas habis tayangan episod akhir drama itu, peminat menyerbu semua pelakon terlibat untuk merakamkan gambar bersama mereka.
Sementara itu, Aiman ketika ditemui selepas tayangan itu berkata, dia tidak menyangka sambutan peminat terhadap drama tersebut begitu luar biasa dan bersyukur kerana Vanila Coklat diterima ramai.
Manakala Izara pula memberitahu, sokongan peminat terhadap drama lakonannya itu telah membangkitkan lagi semangatnya sebagai pelakon untuk terus memberikan terbaik buat peminatnya.
“Walaupun saya datang agak lewat sedikit saya langsung tidak menyangka sokongan dan sambutan peminat begitu luar biasa,” ujarnya.
Drama Vanila Coklat adalah terbitan Asia Media Content dibawah arahan Emi Suffian Sabhe yang mengisahkan tentang Zara dan Amir yang sering bertengkar tetapi ingin dijodohkan oleh ibu bapa mereka.
Drama terbaru iaitu 3 Janji akan menggantikan drama Vanila Coklat dalam slot Lestary itu bermula 20 Mac, setiap Selasa pukul 9 malam.