0
Komen

IBU, DIRANG PERGI DAHULU DAN TUNGGU IBU NANTI DI FIRDAUSI


Kira-kira jam 6.00 petang semalam, aku dan dua rakan wartawan, Salman Hamat dari Harian Metro dan Mohd Iskandar Ibrahim dari Berita Harian yang sedang elok meneguk minuman di restoran mamak, menerima panggilan telefon mengenai pengesahan identiti mayat yang ditemui 8 Mac lalu.
Mayat itu disahkan adalah Nurul Nadirah Abdullah, 5 tahun yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac 2012 kira-kira jam 11 pagi. Ia hasil ujian DNA yang dijalankan Jabatan Kimia dan sampel dari ibu kandungnya, mengesahkan mayat rentung itu adalah Nurul Nadirah.
Berikut adalah kronologi kejadian:
1 Mac 2012 :
Kira-kira jam 11 pagi – Nurul Nadirah Abdullah 5 tahun mengadu lapar, ibunya, Roselyn Alan memberi wang RM4 bersama sekeping nota tertulis dua bungkus mi segera dan telur RM2 untuk dibeli di kedai di blok bersebelahan di rumah mereka di Blok A, Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru.
12 tengahari, Nurul Nadirah atau panggilan manja Dirang, 5 tahun disedari tidak pulang ke rumah.
Jam 3 petang hari yang sama, ibu Dirang, Roselyn Alan buat laporan polis selepas gagal menemui kanak-kanak itu.
Sebaik menerima laporan, sepasukan polis melancarkan gerakan mencari dan menemui sebelah kasut kuning dipakai Dirang dalam kebun kelapa sawit berhampiran flet.
Sebelah lagi ditemui hampir 500 meter dari situ dengan telur yang dibeli pecah dan mi segera bertaburan.
Tiga suspek terdiri dari dua lelaki dan seorang wanita berusia 30an hingga 40-an ditahan polis pada hari yang sama.
Ketiga suspek turut didapati positif dadah jenis syabu.
Gerakan mencari terus dilakukan polis IPD Seri Alam manakala keluarganya turut mengedarkan 80 poster gambar Dirang dan dipasang di sekitar Bandar Seri Alam.
6 Mac 2012:
Ibupejabat Polis Seri Alam turut memohon bantuan kepakaran Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak Bukit Aman, dan sehingga hari berkenaan, lebih 20 lokasi sudah diperiksa polis.
8 Mac 2012:
Kira-kira jam 9 pagi, polis menemui serpihan rangka manusia dalam kawasan ladang kelapa sawit Nusa Damai.
Rangka manusia yang rentung itu ditemui dalam sebuah lubang oleh orang awam.
Pada hari yang sama juga, polis menahan seorang lagi lelaki iaitu bapa kandung kepada Nurul Nadirah bagi membantu siasatan.
Sejak 1 Mac hingga petang semalam, ibu Dirang tak putus asa meninjau kawasan sekitar dengan harapan dapat menemui anak sulungnya itu.
11 Mac 2012:
DYMM Raja Zarith Sofiah berangkat mencemar duli melawat keluarga Nurul Nadirah, kira-kira jam 10 pagi.
12 Mac 2012:
Selepas 12 hari dilaporkan hilang, Jabatan Kimia mengesahkan rangka manusia yang ditemui rentung di kawasan kelapa sawit di Nusa Damai milik Nurul Nadirah.
Ia disahkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Roslan Zainuddin semalam hasil ujian DNA yang dijalankan terhadap mayat terbabit dan sampel diambil dari ibunya.
Lanjutan itu, polis turut mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini ia diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.
Polis turut mendapatkan lanjutan reman terhadap keempat empat suspek.
Mayat Allahyarham Nurul Nadirah dijangka dituntut keluarganya petang ini untuk dikebumikan.
* * * * * * *
Aku tahu ramai yang marah apabila disiarkan tempohari kehilangan Allahyarham berikutan kelekaan ibu mangsa melayari laman sosial Facebook.
Aku pun marah.
Tetapi beranikah kita untuk mengaku kesalahan kita untuk dicemuh masyarakat? Tidakkah kita fikirkan, pengakuan itu penuh kekesalan ibunya? Ibu Allahyarham tidak hipokrit, malah kita mungkin tak seberani wanita ini untuk mengakui kesalahannya, leka dengan Facebook.
Tahukah kita, sebaik kehilangan anak sulungnya itu, tak putus airmata si ibu bercucuran? Tahukah kita, tak pernah rasa jerih, tak pernah rasa penat si ibu mengorak beribu langkah mencari si kecil?
Roselyn baru sahaja melahirkan anak ketiga dan masih dalam pantang namun digagahi jua tubuhnya untuk mencari si kecil, sebaik suria menjengah hinggalah pergi berganti malam.
“Kenapa mati anak aku, kenapaaa..,” itulah raungan, ratapan si ibu sebaik menerima berita pengesahan dari pihak polis. Mampukah kita merasai kekesalan si ibu? Mampukah kita merasai kehilangannya? Mampukah kita berada di jauhan, mengusap airmata si ibu yang tak lekang dari pipi dan tiada henti mengalir?
Aku berada di situ. Aku mendengar ratapan si ibu. Aku dapat lihat betapa keinginan si ibu mahu putar kembali waktu itu, waktu Nurul Nadirah masih bersama, waktu Nurul Nadirah merengek, menangis, bermanja.
Hanya tangisan bersulam ratapan penuh kekesalan mengisi ruang rumah yang sudahpun suram sejak kehilangan Nurul Nadirah, 1 Mac lalu.
Aku yakin pasukan khas yang ditubuhkan Polis Johor ini mampu menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan kita semua mahu tahu, apakah motif disebalik pembunuhan anak kecil tak berdosa ini.
Kita berdoalah agar yang patut dihukum di dunia ini dapat disegerakan hukuman mereka, dan sisipkan doa kepada si ibu agar dia dapat sedikit kesabaran, menempuh hari hari mendatang pasti dengan kekesalan.
Cukuplah pada dia, akan hukuman ini. Cukuplah pada si ibu, segala kekesalan tak mungkin dapat mengembalikan semula Nurul Nadirah dalam dakapan manjanya, tak dapat lagi mencium dahi luas si kecil ini, segala senyuman tawa sendu si kecil ini hanya dipahat dalam ingatan, berlapiskan kekesalan.
Cemuhlah si ibu jika kita tak dapat merasai akan hiba dan tangisnya. Cemuhlah, hinalah. Si ibu pasti redha akan segala cemuhan kerana itu semua tak dapat mengatasi rasa kesal, rasa kecewa akan kehilangan anak yang dikandung dan membesar depan matanya.
Apapun cemuhannya, yang membunuh bukan si ibu. Yang mengandung pasti si ibu ini. Rasakah kita akan pahitnya nanti, tercelik mata, tiada lagi rengekan si kecil ini?
Alfatihah adik Nurul Nadirah. Kami bersama-sama ibumu meratapi pemergianmu dan marah akan laku kejam terhadap dirimu adik. Kami dapat merasai saat-saat akhir adik sebelum nyawa adik diragut. Maafkan ibumu adik. Maafkan dia. Setiap titik airmata ibu bersulamkan kekesalan untukmu adik.
Maafkan kami juga adik, kerana kami juga alpa, kami juga tak mampu meneladani semua ini. Kami pun bersalah, hanya memikirkan diri kami sendiri, tak peduli akan mereka yang asing. Tak peduli mereka yang tak lazim pada mata kami. Maafkan kami dik.
Torehan pada hati si ibu dek kealpaan, tak mampu diubati.
Moga Adik Nurul Nadirah tenang di sana. Pimpinlah ibu nanti ke Firdausi, ya adik. AlFatihah.
sumber
SUKA??? LIKE,TWEET AND G+ :)

0 00 dh komen korong bla lg nk komen: