Penyakit berkaitan penghadaman seperti pedih ulu hati, radang dan barah usus antara penyebab utama kematian di hospital
ANDA
 boleh selesai mengunyah sekeping roti dalam masa kurang dua minit. 
Bagaimanapun tubuh mengambil masa yang lebih lama untuk mencernakan 
makanan yang anda makanan. Malah, tidak ramai yang tahu bahawa tubuh 
mengambil masa lebih 18 jam untuk membuang sisa makanan selepas anda 
menikmati hidangan tengahari. 
Kenyataan
 ini jelas menunjukkan sistem pencernaan atau penghadaman ini satu 
sistem yang rumit. Ia juga terdedah kepada pelbagai gangguan disebabkan 
penyakit, diet dan tekanan emosi.
Antara
 masalah pencernaan yang paling biasa ditemui ialah pedih ulu hati, 
radang usus dan hari ini, kian ramai rakyat Malaysia diserang barah 
usus.
Presiden
 Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia, Dr Tan Huck Joo, 
berkata pada 2006 dan 2007, penyakit yang berkaitan dengan sistem 
pencernaan berada di tangga ke tujuh sebagai penyebab utama kematian di 
hospital kerajaan. 
Bagaimanapun
 pada 2008, walaupun masih berada di tangga tujuh penyebab utama pesakit
 dimasukkan ke hospital kerajaan, namun ia menduduki tangga keenam punca
 utama kematian di hospital kerajaan. 
“Barah
 gastrointestinal juga sangat signifikan di Malaysia. Barah usus adalah 
barah kedua tertinggi di Malaysia, merangkumi 11.9 peratus daripada 
semua kes barah yang dilaporkan. Ia paling kerap ditemui dalam kalangan 
lelaki dan menduduki tangga ke tiga sebagai barah pembunuh di kalangan 
wanita,” katanya. 
Di
 seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 
940,000 barah kolon dilaporkan setiap tahun dengan 500,000 daripadanya 
berakhir dengan kematian. 
Masalah pada sistem pencernaan bukan satu tetapi ada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan sistem pencernaan. Antaranya; 
Masalah refluks 
Masalah
 refluks gastroesofageal (GERD) dialami apabila salur makanan (esofagus)
 bahagian bawah (injap antara salur makanan dan perut) tidak tertutup 
dengan kemas. Ini menyebabkan kandungan asid perut mengalir kembali ke 
esofagus. Simptom paling umum masalah ini ialah pedih ulu hati diikuti 
dengan batuk, suara serak, sendawa dan rasa masam di mulut. 
GERD
 adalah masalah yang kronik dan dideritai sepanjang hayat jika tidak 
dirawat. Jika berlaku kecederaan pada lapisan esofagus, ia juga tanda 
masalah yang kronik. Apatah lagi kecederaan itu boleh berulang apabila 
rawatan dihentikan. 
GERD
 boleh ditangani dengan perubahan gaya hidup. Mulakan dengan menjauhi 
makanan yang boleh memburukkan lagi masalah anda misalnya coklat, 
pudina, alkohol dan minuman berkafein. Jauhi juga makanan berlemak dan 
berhentilah merokok. Jika perubahan gaya hidup tidak membantu, GERD 
boleh ditangani dengan pembedahan. 
Sindrom usus terganggu atau radang usus (IBS) 
IBS
 adalah sejenis gangguan pada usus besar yang menyebabkan sakit perut, 
kekejangan atau kembung selain cirit birit dan sembelit. Ia gangguan 
umum dan ramai rakyat Malaysia mengalaminya setiap hari. 
Punca
 utama IBS terjadi tidak diketahui. Bagaimanapun dipercayai saraf dan 
otot di usus yang terlalu sensitif menyebabkan ia tidak berfungsi 
seperti sepatutnya. Otot itu mungkin mengecut dengan banyak apabila kita
 makan menyebabkan berlaku kekejangan dan cirit birit. 
Masalah
 ini juga mungkin berkait dengan faktor persekitaran dan genetik. 
Merawat IBS memerlukan anda berbincang dengan doktor. Ini disebabkan 
rawatan diberi berdasarkan gejala, darjah kronik masalah yang anda alami
 dan bagaimana IBS mempengaruhi kehidupan harian anda. 
Perubahan
 diet dan gaya hidup antara kaedah rawatan tetapi ada juga mereka yang 
perlu mengambil ubat-ubatan. IBS dialami kira-kira 430,000 rakyat 
Malaysia. Di seluruh dunia pula kadarnya adalah seorang dalam setiap 10 
orang. 
Ulser peptik 
Ulser
 peptik ialah masalah pada liang kecil yang menembusi lapisan 
perut/duodenum. Gejalanya seperti rasa sakit seakan panas membara di 
kawasan antara pusat dan tulang dada, hilang selera makan, muntah darah 
dan najis berwarna hitam. 
Satu
 punca masalah ini adalah penggunaan ubat antiradang bukan steroid 
seperti aspirin dan ibuprofen. Jangkitan bakteria helicobacter pylori 
juga antara punca ia terjadi. 
Barah usus 
Boleh
 menyerang tanpa simptom awal. Justeru pemeriksaan berkala sangat 
digalakkan. Sesiapa saja boleh diserang barah usus terutama apabila usia
 meningkat. Ia paling banyak dikesan pada mereka yang berusia 50 tahun 
ke atas. 
Walaupun
 punca sebenarnya tidak diketahui tetapi faktor usia, jantina, sejarah 
keluarga memainkan peranan penting. Selain itu diet yang tinggi 
kandungan lemak dan rendah serat, merokok dan gaya hidup yang tidak 
aktif meningkatkan risiko diserang barah usus. 
 






 

 
 
1 00 dh komen korong bla lg nk komen:
Takut heh !mkn sekejap....hadam lamanya...klu sihat sekejap...sakit mungkin lama...lambat baik...atoi !
salam kenal....azie singgah sini...ahaks
Post a Comment